Pembangunan dan penyediaan Paris 2024 Paralympic Games

Organisasi

Tony Estanguet, Presiden Jawatankuasa Pengelola Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Panas 2024.

Jawatankuasa Pengelola Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 (Inggeris: Paris 2024 Organising Committee for the Olympic and Paralympic Games; Perancis: Comité d'organisation des Jeux olympiques et paralympiques d'été de 2024; Singkatan: OCOG atau COJO) ditubuhkan pada Januari 2018 untuk merancang, membiayai dan menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024.[8] Jawatankuasa tersebut dipengerusi oleh Tony Estanguet, seorang pemenang emas Olimpik kanu slalom tiga kali dan ahli IOC[9], manakala Etienne Thobois dilantik sebagai CEO jawatankuasa tersebut. [10]

Lambis Konstantinidis telah dilantik sebagai Pengarah Rancangan dan Kordinasi, Hubungan CIO / IPC dan IKM bagi OCOG Paris 2024.[11] Bagi Suruhanjaya Atlet Paris 2024 pula, Marie Bochet (para alpine skiing), Perle Bouge (lumba perahu dayung paralimpik) dan Lucas Créange (ping pong paralimpik) telah dilantik sebagai ahlinya.

Lembaga Penyampaian Sukan Olimpik (Inggeris: Olympic Games Delivery Authority; Perancis: Société de Livraison des Ouvrages Olympiques; Singkatan: SOLIDEO) merupakan sebuah organisasi sektor awam yang berperanan untuk membiayai, menyelia dan menyediakan prasarana Sukan Olimpik dan Paralimpik, terutamanya Kampung Paralimpik yang akan menjadi tempat penginapan bagi semua atlet. [12][8][13] Lembaga ini dipengerusi oleh Anne Hidalgo dan diarah oleh Nicolas Ferrand.[14]

Tempat pertandingan

Sebanyak 22 sukan yang akan dipertandingkan di 19 lokasi, antaranya termasuklah Menara Eiffel (bola sepak buta), Champs Elysees (para triatlon, maraton, lumba basikal lebuh raya), Istana Versailles (ekuestrian) dan sebagainya.[15] Tempat pertandingan bagi 18 acara sukan berada di dalam jarak radius 10 km daripada Kampung Paralimpik, tempat pertandingan bagi 90% atlet boleh dicapai dalam masa kurang daripada 30 minit daripada tempat penginapannya.[16] Semua lokasi yang menganjurkan pertandingan semasa Sukan Paralimpik 2024 dapat dicapai dengan pengangkutan awam.[15]

Ketersampaian

Setakat 2018, hanya 3% stesen metro adalah mesra pengguna kerusi roda.[17] Selepas memenangi hak menganjur, Paris sudah berjanji bahawa kesemua laluan metro yang baharu dan sedang dibina akan menjadi mesra OKU, termasuklah Grand Paris Metro yang akan disiap bina pada tahun 2024.[18][19] Kerajaan tempatan turut berhasrat untuk menjadikan 60% daripada kesemua jaringan pengangkutan di Paris mesra OKU pada tahun 2024.[20] Cerema, sebuah institusi perancangan bandar dan mobiliti, turut diupah untuk meningkatkan ketersampaian laluan jalan kaki di Paris.[21]

Projek "Paris+Inclusive" turut dilaksanakan untuk meningkatkan ketersampaian dalam bandar tersebut serta menggalakkan orang kurang upaya yang lain untuk terlibat dalam bersukan dan aktif dalam komuniti mereka.[22] Selain itu, pihak penganjur Paris 2024 turut berhasrat untuk menganjurkan acara pertama yang mendapat pengiktirafan ketersampaian sejagat daripada ISO.[16]

Program sukarelawan yang dijalan turut dibuka kepada golongan kurang upaya untuk menyertainya. Pihak penganjur Paris 2024 mesasar agar 3,000 orang sukarelawan (6% daripada jumlah keseluruhan) terdiri daripada orang kurang upaya.[23] Latihan sukarelawan juga boleh disertai oleh individu yang mempunyai kecacatan penglihatan dan pendengaran. Lokasi latihan bersemuka juga boleh dicapai oleh individu yang mempunyai masalah mobiliti.[24]

Pendapat awam

Sebuah kajian yang dilakukan oleh Institut Pendapat Awam Perancis (IFOP) menyatakan bahawa 90% rakyat Perancis menyokong penganjuran Sukan Paralimpik Musim Panas yang pertama di negara tersebut.[25] Demi meningkatkan kesedaran awam terhadap sukan dalam Sukan Paralimpik, pihak penganjur Paris 2024 telah memohon kepada Unicode agar emoji bagi sukan Paralimpik diwujudkan.[26] Pada masa yang sama, Perancis juga ingin meneladani kejayaan London dalam menganjurkan Sukan Paralimpik 2012 dan cara yang mereka ambil untuk meningkatkan kesedaran awam.[27]